NowWhyTwo Moscow

Wadah bicara. Kuatkan Iman Teruskan Amal~

Hukum Agih Daging Korban Kepada Bukan Muslim

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna’ menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

l Semua ulama mazhab sepakat (ijma’) memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof Madya Alias Othman

———————————————————————————————————-

Pendapat Kami : Boleh memberikan kepada bukan islam daging korban (yang bukan nazar) kepada bukan islam. Sama ada berbentuk masakan atau mentah. Rujuk pendapat di atas.

“walaubagaimanapun, tiada khilaf (pertentangan) antara pendapat-pendapat berkenaan bahawasanya daging korban sewajarnya diedarkan dan diutamakan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu berbanding mengagihkannya kepada bukan muslim”. bukan apa, takut semangat sangat nak kasi kat non-muslim, terlupa ada muslim yang sepatutnya yang belum dapat pula.

Advertisements

November 21, 2010 Posted by | Akhlak, Ibadah | 3 Comments

Ramadhan Tarbiyah Terus Daripada Allah, Datangnya Dinanti Perginya Ditangisi

Sedar tidak sedar ramadhan sudah meniti di penghujungnya. Datangnya penuh dengan rahmat , pergi diiringi dengan keampunan. Didikan ramadhan menjadikan manusia sama taraf antara satu sama lain. Ia menjadikan kita tiada beza antara satu sama lain. Kita diasuh, tiada yang membezakan manusia melainkan sifat Takwa kepada Allah. Kerana itu, takwa menjadi asas didikan di dalam ramadhan , “Mudah-mudahan kamu bertakwa ” (2:184)

Apabila tibanya ramadhan, betapa tingginya darjat seseorang manusia, betapa tinggi pangkat dia, semuanya menjadi sama sahaja ketika ramadhan bermula. Apa yang lebih utama, kita boleh mendapati , Allah menyusun waktu manusia, mentadbir jadual manusia, membelenggu (mengikat) syaitan. Kerana apa? Semuanya tidak lain untuk memudahkan manusia mendapat takwa kepada Allah.

“Sesungguhnya paling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang lebih bertakwa”

Taqwa Asas Pembentukan Manusia

Taqwa menjadi asas keimanan, dan taqwa juga didapati sebagai asas untuk memperoleh syurga “disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (3:133) . Continue reading

September 29, 2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Mendidik Jiwa Dengan Memberi

“Insyaallah, tahun ni kita akan teruskan program menyumbang pakaian seperti tahun-tahun lepas. ” saya memulakan bicara selaku wakil biro kebajikan ketika pembentangan untuk mesyuarat Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Moscow).

“Cuma , pada tahun ini kita akan buat dalam bentuk yang lain sedikit. Kita tak guna perkataan derma tetapi kita guna perkataan hadiah buat saudara. Yang mana, syarat untuk memberi mestilah pakaian itu berlipat dan bergosok. Dan dimasukkan dalam beg plastik yang cantik. Jika syarat ini tidak dipatuhi, kita akan menolak sebarang pemberian. “

Memanfaatkan Sifat Memberi

Niat asal pada tahun ini program seumpama ini dibatalkan terus. Acap kali, setiap kali program seumpama ini dilakukan, ianya menjadi medan membuang barangan tidak pakai, barangan yang sudah hilang nilai pada mata. Baju-baju dan seluar-seluar yang dibeli pada suatu masa dahulu, tetapi sudah ada kecacatan dan menyebabkan ianya menjadi suatu beban untuk dipakai oleh pelajar. Kerana itulah setiap kali berlaku program pemberian sebegini ianya menjadi longgokan barangan yang jika dilihat oleh seseorang , hilang minat untuk dijadikan pakaian seharian.

Pakaian yang dibeli suatu masa dahulu dengan harga yang tinggi, kini dijadikan bahan pemberian. Bukanlah menafikan dari banyak-banyak pemberian itu ada yang baik, tetapi hampir 50% dari yang ada, adalah barangan yang lusuh. Membuat sedikit peraturan dan menukar kalimah pada program mudah-mudahan akan membuatkan orang yang betul-betul ingin menyumbang akan dimanfaatkan.

Mudah-mudahan tiada lagi kedengaran suara seperti ini ,

“hei minah, mana baju yang kau beli hari tu?”

‘aku dah sedekah’

“aik, bukan ke kau bersungguh nak beli baju tu hari tu?”

‘ye la, tapi bila dah pakai cam tak best pulak. Malas aku simpan baju yang tak pakai.”

Konsep Pemberian

Sedekah, zakat , sumbangan merupakan himpunan perkataan yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa mudah, MEMBERI. Memberi merupakan suatu proses dimana kita mengambil sebahagian dari harta kita dan ditukar milik pada orang lain. Sebaik-baik pemberian adalah pemberian dari harta yang paling disayangi dan paling dihargai pada kaca mata Pemberi.

Jika kebunnya adalah yang paling disayangi, maka kebun itu diberikan hasilnya pada kebaikan, jika emas ditangan yang paling berharga, emas itu disedekahkan, jika baju yang dipakai itu yang paling disukai, baju itu yang disedekahkan. Sebarang pemberian yang diberikan hasil dari sifat menghargai dan menyanyangi barangan itu, pemberian itulah yang paling baik disisi Tuhan.

Ketika kita membaca dan meneliti firman Tuhan yang mengatakan bahawa “kamu takkan sampai kepada yang dinamakan kebajikan sehinggalah menafkahkan apa yang paling kamu sayangi.” (Ali imran-92)

Seorang sahabat Nabi Muhammad, ketika mendengar ayat ini, dia terus mendatangi Nabi Muhammad sambil berkata, bahawa dia mempunyai sebuah kebun yang disayanginya kerana banyak hasil yang diperolehi dari kebun tersebut. Dia menafkankan kebun itu dan isi-isinya pada Nabi untuk dijadikan modal dalam memperjuangkan agama Allah.

Inilah yang ingin kita bina dalam jiwa masayrakat kita. Pemberian yang menampakkan kesungguhan dan ketulusan jiwa.

Jiwa Orang Kurang Berharta

Orang yang kurang padanya harta jiwa mereka tidak terlalu berhajat pada meminta. Bagi mereka , lebih elok dicari harta sendiri walaupun hasilnya tidak banyak sangat. Ini lebih baik dari menjadikan diri hina dengan meminta. Tetapi jika ada yang sudi memberi, ianya suatu penghargaan pada jiwa mereka. Kemiskinan yang melanda tidak menjadikan jiwa mereka kecil, tetapi dengan kemiskinanlah membuatkan jiwa mereka semakin tabah dalam mengharungi kehidupan.

Kemiskinan membuatkan seseorang lebih banyak mengadu pada Pemberi Rezeki, disamping usaha yang dilakukan. Sikap berserah dan mengadu pada yang Sentiasa Mendengar adalah terlebih baik dari meminta-minta dari makhluk.

Pemberian itu Kasih Sayang

“tidak beriman seseorang kamu jika tidak mengasihi saudaranya sepertimana mengasihi dirinya sendiri”

Hadis ini cukup memberi kesan pada mereka yang jiwanya penuh dengan kasih sayang. Apabila kita menganggap rakan-rakan, orang-orang miskin, tetangga, jiran dan sesiapa sahaja sepertimana diri kita sendiri, maka adakah lagi peluang untuk kita memberi sesuatu yang kita sendiri tidak suka?

Baju yang sudah lusuh, maka kita akan jadikan kain buruk berbanding memberi pada saudara kita. Kerana apa? kerana kita pun sudah tidak mahu gunakan pakaian itu, apakah orang lain juga akan memakai pakaian yang sama ? Memberi dengan maksud keperihatinan kita adalah dengan pemberian yang membangunkan jiwa seorang manusia. Jika pemberian dengan barangan-barangan 2nd ini sudah lusuh, maka ianya akan membuat satu penghadang antara orang berharta dengan yang tidak berharta.

Apakah dinding itu?

Dinding pemisah inilah yang menunjukkan kasta. Orang berharta lebih dengan pakaian serba baru, orang miskin dengan pakaian lusuh dan 2nd hand. Orang kaya dengan sikap tidak mengapa jika baju yang tidak mahu guna diberikan pada orang lain, manakala si miskin merasa terhina dengan pemberian yang tidak seberapa. Dinding inilah yang memisahkan dua golongan ini.

Pakaian yang lusuh melambangkan kita menghina golongan yang tidak punya apa-apa ini. Menghina manusia dengan harta sudah cukup menampakkan keadaan jiwa kita yang sebenar. Seseorang yang menghina manusia dengan harta, hartanya lebih hina dari si miskin yang tidak punya apa-apa. Penanda harta yang ada tiada keberkatan , bahkan harta itulah yang membawa kemurkaan Tuhan.


“perkataan yang baik dan pemberian kemaafan adalah lebih baik dari sedekah yang mengirinya dengan suatu yang menyakitkan” (albaqarah-263)

Inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Jika jiwa dan hati tidak sudi untuk memberi, tolaklah pelawaan atau permintaan dari peminta berbanding memberikan sesuatu yang hampir sudah tiada nilai  di mata manusia. Cukuplah keperitan jiwa seorang yang tiada harta , janganlah disakiti golongan ini dengan pemberian kita yang cukup menyesakkan lagi dada mereka dengan penghinaan kita yang sebegitu rupa.

Bukalah ruang kasih sayang dalam jiwa kita, berilah penghargaan pada manusia selayaknya seorang manusia itu dimuliakan. Janganlah kesenangan hidup kita menjadikan kita buta hati, buta jiwa dengan perasaan kasih sayang, buta jiwa dari sikap peduli pada perasaan manusia.


“wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)..” (albaqarah-264)

September 14, 2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment