NowWhyTwo Moscow

Wadah bicara. Kuatkan Iman Teruskan Amal~

Khutbah AidilAdha 1430H: Mewujudkan Keturunan Dan Pemimpin Pelapis Yang Soleh


Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

Syukur kepada Allah SWT pada pagi hari yang mulia ini kita dapat bersama-sama melaksanakan solat Iduladha. Kehadiran kita pagi ini bersamaan dengan kehadiran sekitar 4 juta jemaah haji dari segala penjuru dunia menjadi tetamu Allah sedang melaksanakan ibadat haji di tanah suci Mekah. Suara mereka bertautan dan sambung menyambung dengan pujian takbir, tahlil dan tahmid. Suasana ini jelas memperlihatkan kepada kita betapa umat Islam disatukan dalam nikmat yang terbesar dari Allah SWT iaitu nikmat iman dan Islam. Selari dengan itu, maka marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT mudah mudahan kita menjadi umat yang taat dan bersedia berkorban demi memperjuangkaan prestasi kecemerlangan Islam.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tentang Mewujudkan Keturunan Dan Pemimpin Pelapis Yang Soleh”.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

Amalan kemuncak dalam ibadah haji ialah wuquf di Padang Arafah di mana semua jemaah haji berkumpul dan berdiri menghadap Allah SWT memohon keampunan. Selepas itu mereka menyembelih seekor haiwan sembelihan sebagai ingatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang mengorbankan anak baginda Nabi Ismail a.s. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s inilah yang kita ambil sebagai hari raya Iduladha. Nabi Ibrahim a.s merupakan orang pertama yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa sebarang protes atau bantahan ketika diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih satu-satunya anak baginda iaitu Nabi Ismail a.s.

Perbuatan Nabi Ibrahim a.s itu, menjadi contoh teladan buat umat Islam melalui penyembelihan yang kemudiannya diganti dengan binatang korban. Amalan ini bukan sahaja dilakukan oleh jemaah haji, tetapi turut dilakukan serentak oleh umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda memperingati pengorbanan dan ketaatan teragung Nabi Ibrahim a.s terhadap Allah SWT. Nabi Ibrahim a.s sememangnya model seorang bapa atau pemimpin yang soleh. Baginda mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah di Palestin dan Hajar di Mekah yang banyak membantu dalam mengembangkan Islam. Walaupun baginda telah berusia, namun baginda lambat dikurniakan oleh Allah SWT zuriat. Tetapi berkat kesabaran dan doa agar ada keturunannya yang bakal menyambung dasar-dasar hidup Islam, maka Allah SWT telah memakbulkan doa baginda.

Firman Allah SWT dalam surah as-Saaffaat ayat 99-101:

Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim berkata: Aku hendak pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku ke jalan yang benar. Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang yang salih!. Lalu Kami berikan kepadanya berita gembira, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.”

Berkat doa ini Hajar melahirkan Nabi Ismail a.s di Mekah dan Sarah pula melahirkan Nabi Ishak a.s di Palestin. Kedua-dua anak ini adalah pemimpin pelapis yang menjadi penggerak utama Islam di Baitullah, Mekah dan Masjidil Aqsa, Palestin. Bagaimanapun perngorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.s telah menjadi titik tolak dan pemacu penyebaran Islam di seluruh dunia. Hakikatnya, banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada kehidupan Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya ini. Apa yang nyata, Nabi Ibrahim a.s dan isterinya amat perihatin tentang kualiti kesinambungan keturunan dan pemimpin pelapis yang soleh dan dapat menegakkan nilai-nilai kebenaran.

Firman Allah SWT dalam Surah Saba’ ayat 37:

Maksudnya: “Dan tidaklah hartamu dan tidak juga anak-pinakmu yang mendampingkan kamu di sisi Kami, kecuali orang yang beriman dan berama soleh, maka bagi mereka balasan yang berlipat-ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan ditempatkan dalam mahligai dengan aman sentosa.”

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

Pada pagi sambutan hari raya ini, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa anak merupakan anugerah dan satu amanah Allah SWT. Selari dengan anak sebagai penyambung zuriat kita di muka bumi ini, maka amanah Allah SWT itu jangan di sia-siakan. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s isterinya Sarah dan Hajar serta ketaatan anak-anak baginda Ismail dan Ishak a.s. Persoalan besar timbul ialah apakah jemaah dan umat Islam sekalian mengambil berat usaha mewujudkan keturunan dan pemimpin pelapis yang soleh bagi meneruskan agenda dan dasar hidup menegakkan kebenaran di bumi Allah ini?.

Untuk membolehkan keturunan soleh ini lahir, maka ia bermula daripada diri ibubapa sendiri. Sangat jarang terjadi ibubapa yang mahukan anak-anaknya menjadi soleh tetapi mereka sendiri berkeadaan sebaliknya. Kita perlu insaf bahawa mendidik anak-anak harus dimulai dengan menteladani yang baik dari dalam lingkungan kehidupan keluarga itu sendiri.

Bagaimana mungkin orang tua boleh mendidik anak-anak dengan baik, jika mereka sendiri hidup lintang pukang dan tidak boleh dicontohi. Dengan demikian usaha mewujudkan generasi muda dan pemimpin pelapis yang soleh sewajarnya menjadi agenda utama setiap pemimpin keluarga dan negara bangsa ini kerana ditangan generasi inilah terletak masa depan yang diharapkan lebih baik dari masa kini.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

Kita amat bimbang dan risau kerana menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga 2008 terdapat seramai 83,701 orang anak-anak yang dilahir tanpa nikah. Dalam tempoh yang sama juga seramai 72,043 orang anak-anak yang lahir itu diragui status perkahwinan ibubapa mereka sama ada mereka pernah berzina sebelum bernikah atau menikah tanpa wali yang sah. Berdasarkan perangkaan ini, maka ibubapa perlu mengambil berat agar anak-anak tidak menjadi korban nafsu dan merebaknya gejala sosial yang lain.

Justeru ibubapa hendaklah memastikan keutamaan pembangunan pendidikan Islam yang secukupnya bagi anak-anak agar pegangan akidah mereka kuat serta mampu mengharungi cabaran hidup.

Mimbar menyeru hadirin hadiriat sekalian, marilah sama-sama kita memastikan pendidikan anak-anak mencapai keredhaan Allah SWT. Ibu bapa perlu melakukan pengorbanan demi mewujudkan nasab keturunan yang soleh. Semoga dengan itu, diri, keluarga, masyarakat dan negara dijaga dengan selamat.

Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 9:

Maksudnya:“ Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Khutbah kedua

Muslimin Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita pada hari yang penuh berkat ini, kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Sesungguhnya disekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Sebahagian daripada bantuan itu adalah mengagihkan daging korban.

Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturahim umat Islam itu sendiri. Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan yang pelbagai bentuk, tanda kasih sayang sesama kita. Walaupun harga sebahagian binatang korban itu semakin meningkat, namun ia tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar. Bantuan ini dapat menceriakan golongan fakir miskin dalam menyambut Iduladha.

Selain itu, hasil pembelian dan jualan daging dapat disalurkan untuk memenuhi keperluan seharian mereka. Apa yang menggembirakan lagi ialah para penternak dan petani juga dapat meningkatkan sumber kewangan mereka dengan penjualan binatang tersebut.

Muslimin Muslimat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan program ibadah korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Mindanao, dan Burma bagi menyahut seruan ini. Paling penting adalah mereka yang menggorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh ketaqwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah.

Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadah korban ini sama ada diperingkat kampung, taman perumahan, mahu pun di luar negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersalawat kepada Nabi; wahai orang yang beriman  bersalawatlah kamu kepadanya serta mohonkanlah kesejahteraan dengan sepenuh penghormatan.”

Marilah kita sama-sama mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW.  Dan marilah kita bermohon kepada Allah SWT,  semoga Allah meredhai khalifah-khalifah Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar bin As-Siddiq, Saidina Umar bin Al-Khattab, Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Juga sahabat-sahabat baginda yang telah berjuang  menyebar dan meninggikan agama Allah yang Maha Suci ini dan pengikut-pengikut baginda yang berjuang dari semasa ke semasa hingga hari kiamat.

Ya Allah ampunkanlah sekalian kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, sama ada yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia. Kurniakanlah Ya Allah taufik dan hidayah, kekuatan, kesejahteraan dan pertolongan kepada ketua-ketua negara Islam dan raja-rajanya khasnya kepada hambamu Raja kami Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agung, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung, Tuanku Nur Zahirah, Putera Puteri baginda berdua, Pemimpin-pemimpin Negara dan rakyat jelata.

Ya Allah wahai tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakan kami limpah rahmat-Mu, sesungguhnya Engkau jualah tuhan yang Maha Melimpah Pemberian. Ya Allah, kami hamba-hamba-Mu memohon agar dikekalkan nikmat keamanan, keselamatan dan kemakmuran dalam kehidupan. Lindungilah kami dan tanah air ini daripada segala mara bahaya, banjir besar, gempa bumi, kemarau panjang, wabak penyakit, dan persengketaan. Semoga dengan demikian Negara kami bertambah makmur, berkat dan aman. Hiasilah diri kami dengan akhlak yang mulia sebagaimana Rasul junjungan. Anugerahkan juga kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan yang soleh, menyenangkan hati dan pemandangan. Jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang tinggi ketakwaan agar kami beroleh kebahagiaan serta jauhi kami daripada azab api neraka Jahanam yang menyakitkan.

sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

November 28, 2009 - Posted by | Akhlak, Ibadah, Tazkirah | , ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: