NowWhyTwo Moscow

Wadah bicara. Kuatkan Iman Teruskan Amal~

Ramadhan Tarbiyah Terus Daripada Allah, Datangnya Dinanti Perginya Ditangisi

Sedar tidak sedar ramadhan sudah meniti di penghujungnya. Datangnya penuh dengan rahmat , pergi diiringi dengan keampunan. Didikan ramadhan menjadikan manusia sama taraf antara satu sama lain. Ia menjadikan kita tiada beza antara satu sama lain. Kita diasuh, tiada yang membezakan manusia melainkan sifat Takwa kepada Allah. Kerana itu, takwa menjadi asas didikan di dalam ramadhan , “Mudah-mudahan kamu bertakwa ” (2:184)

Apabila tibanya ramadhan, betapa tingginya darjat seseorang manusia, betapa tinggi pangkat dia, semuanya menjadi sama sahaja ketika ramadhan bermula. Apa yang lebih utama, kita boleh mendapati , Allah menyusun waktu manusia, mentadbir jadual manusia, membelenggu (mengikat) syaitan. Kerana apa? Semuanya tidak lain untuk memudahkan manusia mendapat takwa kepada Allah.

“Sesungguhnya paling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang lebih bertakwa”

Taqwa Asas Pembentukan Manusia

Taqwa menjadi asas keimanan, dan taqwa juga didapati sebagai asas untuk memperoleh syurga “disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (3:133) . Continue reading

Advertisements

September 29, 2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Salam Aidilfitri 1429 Hijrah

Taqaballahu Minna wa Minkum!

NOWWHYTWO MOSCOW IMAM RSC

MENGUCAPKAN

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN

KEPADA SELURUH WARGA MOSCOW.

September 29, 2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI

(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari) Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini. Continue reading

September 29, 2008 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Mendidik Jiwa Dengan Memberi

“Insyaallah, tahun ni kita akan teruskan program menyumbang pakaian seperti tahun-tahun lepas. ” saya memulakan bicara selaku wakil biro kebajikan ketika pembentangan untuk mesyuarat Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Moscow).

“Cuma , pada tahun ini kita akan buat dalam bentuk yang lain sedikit. Kita tak guna perkataan derma tetapi kita guna perkataan hadiah buat saudara. Yang mana, syarat untuk memberi mestilah pakaian itu berlipat dan bergosok. Dan dimasukkan dalam beg plastik yang cantik. Jika syarat ini tidak dipatuhi, kita akan menolak sebarang pemberian. “

Memanfaatkan Sifat Memberi

Niat asal pada tahun ini program seumpama ini dibatalkan terus. Acap kali, setiap kali program seumpama ini dilakukan, ianya menjadi medan membuang barangan tidak pakai, barangan yang sudah hilang nilai pada mata. Baju-baju dan seluar-seluar yang dibeli pada suatu masa dahulu, tetapi sudah ada kecacatan dan menyebabkan ianya menjadi suatu beban untuk dipakai oleh pelajar. Kerana itulah setiap kali berlaku program pemberian sebegini ianya menjadi longgokan barangan yang jika dilihat oleh seseorang , hilang minat untuk dijadikan pakaian seharian.

Pakaian yang dibeli suatu masa dahulu dengan harga yang tinggi, kini dijadikan bahan pemberian. Bukanlah menafikan dari banyak-banyak pemberian itu ada yang baik, tetapi hampir 50% dari yang ada, adalah barangan yang lusuh. Membuat sedikit peraturan dan menukar kalimah pada program mudah-mudahan akan membuatkan orang yang betul-betul ingin menyumbang akan dimanfaatkan.

Mudah-mudahan tiada lagi kedengaran suara seperti ini ,

“hei minah, mana baju yang kau beli hari tu?”

‘aku dah sedekah’

“aik, bukan ke kau bersungguh nak beli baju tu hari tu?”

‘ye la, tapi bila dah pakai cam tak best pulak. Malas aku simpan baju yang tak pakai.”

Konsep Pemberian

Sedekah, zakat , sumbangan merupakan himpunan perkataan yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa mudah, MEMBERI. Memberi merupakan suatu proses dimana kita mengambil sebahagian dari harta kita dan ditukar milik pada orang lain. Sebaik-baik pemberian adalah pemberian dari harta yang paling disayangi dan paling dihargai pada kaca mata Pemberi.

Jika kebunnya adalah yang paling disayangi, maka kebun itu diberikan hasilnya pada kebaikan, jika emas ditangan yang paling berharga, emas itu disedekahkan, jika baju yang dipakai itu yang paling disukai, baju itu yang disedekahkan. Sebarang pemberian yang diberikan hasil dari sifat menghargai dan menyanyangi barangan itu, pemberian itulah yang paling baik disisi Tuhan.

Ketika kita membaca dan meneliti firman Tuhan yang mengatakan bahawa “kamu takkan sampai kepada yang dinamakan kebajikan sehinggalah menafkahkan apa yang paling kamu sayangi.” (Ali imran-92)

Seorang sahabat Nabi Muhammad, ketika mendengar ayat ini, dia terus mendatangi Nabi Muhammad sambil berkata, bahawa dia mempunyai sebuah kebun yang disayanginya kerana banyak hasil yang diperolehi dari kebun tersebut. Dia menafkankan kebun itu dan isi-isinya pada Nabi untuk dijadikan modal dalam memperjuangkan agama Allah.

Inilah yang ingin kita bina dalam jiwa masayrakat kita. Pemberian yang menampakkan kesungguhan dan ketulusan jiwa.

Jiwa Orang Kurang Berharta

Orang yang kurang padanya harta jiwa mereka tidak terlalu berhajat pada meminta. Bagi mereka , lebih elok dicari harta sendiri walaupun hasilnya tidak banyak sangat. Ini lebih baik dari menjadikan diri hina dengan meminta. Tetapi jika ada yang sudi memberi, ianya suatu penghargaan pada jiwa mereka. Kemiskinan yang melanda tidak menjadikan jiwa mereka kecil, tetapi dengan kemiskinanlah membuatkan jiwa mereka semakin tabah dalam mengharungi kehidupan.

Kemiskinan membuatkan seseorang lebih banyak mengadu pada Pemberi Rezeki, disamping usaha yang dilakukan. Sikap berserah dan mengadu pada yang Sentiasa Mendengar adalah terlebih baik dari meminta-minta dari makhluk.

Pemberian itu Kasih Sayang

“tidak beriman seseorang kamu jika tidak mengasihi saudaranya sepertimana mengasihi dirinya sendiri”

Hadis ini cukup memberi kesan pada mereka yang jiwanya penuh dengan kasih sayang. Apabila kita menganggap rakan-rakan, orang-orang miskin, tetangga, jiran dan sesiapa sahaja sepertimana diri kita sendiri, maka adakah lagi peluang untuk kita memberi sesuatu yang kita sendiri tidak suka?

Baju yang sudah lusuh, maka kita akan jadikan kain buruk berbanding memberi pada saudara kita. Kerana apa? kerana kita pun sudah tidak mahu gunakan pakaian itu, apakah orang lain juga akan memakai pakaian yang sama ? Memberi dengan maksud keperihatinan kita adalah dengan pemberian yang membangunkan jiwa seorang manusia. Jika pemberian dengan barangan-barangan 2nd ini sudah lusuh, maka ianya akan membuat satu penghadang antara orang berharta dengan yang tidak berharta.

Apakah dinding itu?

Dinding pemisah inilah yang menunjukkan kasta. Orang berharta lebih dengan pakaian serba baru, orang miskin dengan pakaian lusuh dan 2nd hand. Orang kaya dengan sikap tidak mengapa jika baju yang tidak mahu guna diberikan pada orang lain, manakala si miskin merasa terhina dengan pemberian yang tidak seberapa. Dinding inilah yang memisahkan dua golongan ini.

Pakaian yang lusuh melambangkan kita menghina golongan yang tidak punya apa-apa ini. Menghina manusia dengan harta sudah cukup menampakkan keadaan jiwa kita yang sebenar. Seseorang yang menghina manusia dengan harta, hartanya lebih hina dari si miskin yang tidak punya apa-apa. Penanda harta yang ada tiada keberkatan , bahkan harta itulah yang membawa kemurkaan Tuhan.


“perkataan yang baik dan pemberian kemaafan adalah lebih baik dari sedekah yang mengirinya dengan suatu yang menyakitkan” (albaqarah-263)

Inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Jika jiwa dan hati tidak sudi untuk memberi, tolaklah pelawaan atau permintaan dari peminta berbanding memberikan sesuatu yang hampir sudah tiada nilai  di mata manusia. Cukuplah keperitan jiwa seorang yang tiada harta , janganlah disakiti golongan ini dengan pemberian kita yang cukup menyesakkan lagi dada mereka dengan penghinaan kita yang sebegitu rupa.

Bukalah ruang kasih sayang dalam jiwa kita, berilah penghargaan pada manusia selayaknya seorang manusia itu dimuliakan. Janganlah kesenangan hidup kita menjadikan kita buta hati, buta jiwa dengan perasaan kasih sayang, buta jiwa dari sikap peduli pada perasaan manusia.


“wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)..” (albaqarah-264)

September 14, 2008 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Marhaban ya Ramadhan!~

Assalammualaikum dan salam ukhwah buat semua. Setelah hampir 2 bulan bercuti, selama itu jugalah NowWhy2 berehat seketika, kini kita kembali meneruskan perjuangan yang belum selesai di bumi Moscow ini. Dalam edisi khas sempena Ramadhan ini, akan dikupas sedikit sebanyak bagaimana cara yang sepatutnya kita lakukan untuk Menyambut Ramadhan, tujuan pensyariatan ibadah puasa dan halangan-halangan dalam menuju makna puasa itu sendiri.

Jika seorang teman yang anda kasihi menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya? Apakah perasaan anda? Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut. Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?

Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman? Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah. Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Pemupukan Taqwa

Bulan Ramadhan bulan yang sungguh istimewa, disediakan Allah sebagai agenda tarbiyyah tahunan selama sebulan bagi mendidik golongan mu’min menyucikan jiwa, menyempurnakan diri dengan akhlak mulia dan menjelmakan amalan salih menerusi segala tindakannya agar terbina dalam dirinya makna taqwa. Firman Allah:

” Wahai orang-orang yg beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (2:183)

Ingat! Setiap drpd kita mesti menyematkan dalam fikiran bahawa berpuasa kerana hendak memupuk makna taqwa. Sesiapa yg berpuasa kerana tujuan lain, maka tidak sampai kepada hakikat puasa yg sebenarnya. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan:

” …sesiapa yg berpuasa pada bulan Ramadan dgn penuh keimanan dan kesungguhan, diampunkan dosanya yg telah lalu.” (Bukhari)

Halangan Terbinanya Taqwa

Masih ramai di antara kita yg berpuasa ikut-ikutan. Tujuan sebenar ibadah puasa diwajibkan Allah tidak difahami. Justeru, ibadah puasa yg dilakukan hari ini tidak lebih sekadar ‘lapar dan dahaga’. Buktinya, sebaik sahaja keluar dari Madrasah Ramadan, kita kembali meneruskan tabiat lama dan perangai buruk. Latihan selama sebulan yg dilalui sepanjang Ramadan tidak banyak menyumbang kepada perubahan. Gambaran-gambaran negatif berikut masih berleluasa di sepanjang Ramadan:

1) Jahil tentang Fiqh al-Siyam

–          Apakah kita dikatakan faham ttg hakikat puasa jika masih meninggalkan solat?

–          Apakah kita dikatakan faham jika masih membuka aurat tanpa rasa malu dan berdosa?

–          Apakah kita dikatakan faham jika masih keluar berdua bersama bukan muhrim, berdua di dalam bilik, berpegangan tangan dan seumpamanya?

–          Apakah kita dikatakan faham jika masih gemar menghabiskan waktu dgn menonton siaran-siaran/cerita-cerita yg sia-sia dan tidak menambahkan ilmu serta meningkatkan iman malah melalaikan drpd mengingati Allah?

–          Apakah kita dikatakan faham jika sanggup meninggalkan puasa tanpa sebarang uzur syarii?

2) Membazir

Amalan membazir adalah antara tanda kufur nikmat. Termasuk amalan membazir ialah terlalu ‘obses’ menyediakan/membeli juadah berbuka dgn berlandaskan nafsu semata-mata, membazir wang dgn membakar mercun dll. Padahal Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yg membazir itu ialah saudara-saudara syaitan” (3:36)

3) Gemar berhibur

Roh ramadhan ialah roh ibadah, roh taqwa. Kecenderungan mengheret bulan Ramadan sbg bulan pesta (pesta jualan, makanan, nyanyian, mercun dsb) ialah terkeluar drpd roh syariat.

4) Ghairah menyambut Hari Raya, dll.

Antara amalan yg perlu dan mesti diperbetulkan ialah keghairahan berlebihan menyambut Hari Raya. Akibatnya ada sesetengah drpd kita yg mensia-siakan bulan yg berkat ini (terutamanya 10 hari terakhir) kerana terlalu sibuk dgn persediaan raya. Alangkah ruginya!

Justeru, sahabat-sahabiah yg dikasihi, marilah kita menghisab dan menghitung diri serta berusaha mengislahkan diri ke arah yg lebih baik..mudah-mudahan dgn segala pengorbanan dan kesungguhan kita beribadah pada bulan yg mulia ini, bulan yg diturunkan Al-Quran padanya, bakal menjadi didikan(tarbiyah) dan bekalan yg cukup utk kita harungi kehidupan ini dgn penuh taqwa setelah berlalunya Ramadan..dan marilah kita sama-sama doakan agar roh ibadah puasa ini dapat dihayati dgn sebenar-benarnya serta objektifnya dapat kita capai dalam menuju redha Allah Tabaraka wa ta’ala,ameen.

September 6, 2008 Posted by | Tazkirah, Ucapan | | 1 Comment