NowWhyTwo Moscow

Wadah bicara. Kuatkan Iman Teruskan Amal~

Tiada paksaan dalam Islam


لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ

بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللّهِ فَقَدِاسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لاَ

انفِصَامَ لَهَا وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Firman Allah s.w.t, Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat Kuat yang tidak akan putus.

Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 256)

al-quran

Al-Maghari berkata: “Kalam sebelum ini berkenaan dengan taqrir usuluddin daripada tauhid kepada Allah dan mensucikannya serta sifat keesaan-Nya berkenaan dengan kerajaan dan pemerintahan di langit dan bumi. Juga penerangan bahawa ilmu-Nya merangkumi setiap sesuatu”.

Firman Allah s.w.t, Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sayyid Qutub berkata: Dalam dasar ini ternyata bagaimana Allah memuliakan manusia dan menghormati kemahuannya, fikirannya dan perasaannya. Allah menyerahkan kepada mereka kebebasan membuat keputusan terhadap perkara akidah yang menentukan hidayat dan kesesatan dan menyerahkan kepadanya tanggungjawab amalan-amalannya dan hisab dirinya.

Inilah ciri kebebasan manusia yang paling utama, iaitu kebebasan yang sedang ditindas pada abad dua puluh ini oleh berbagai-bagai aliran pemikiran atau isme-isme yang sewenang-wenang dan system-sistem hidup menghinakan manusia.

Itulah isme-isme dan sistem-sistem hidup yang tidak membenarkan makhluk insan yang dimuliakan Allah dengan agamanya berpegang dengan sesuatu kefahaman dan sesuatu sistem hidup selain dari apa yang direncanakan oleh negara melalui undang-undang dan peraturan-peraturannya. (Ia tidak mempunyai pilihan lain) sama ada ia menganut mazhab negara yang mengharamkannya daripada beriman kepada Allah yang mentadbirkan alam ini atau mendedahkan dirinya kepada hukum maut dengan berbagai-bagai cara dan punca.

Kebebasan iktikad merupakan hak pertama manusia yang memberikan kepadanya sifat insan. Seseorang yang dirampas kebebasan iktikadnya bererti telah dirampas insaniahnya daripada awal lagi. Di samping kebebasan iktikad ialah kebebasan berdakwah atau memperjuangkan akidahnya dan keamanan daripada gangguan dan penindasan.

Jika tidak, maka ia hanya kebebasan pada namanya sahaja tetapi tidak ada apa-apa ertinya di dalam realiti kehidupan.

Islam selaku pandangan dan kefahaman yang paling tinggi terhadap alam buana dan kehidupan serta selaku sistem hidup yang paling lurus bagi masyarakat manusia tanpa sebarang keraguan telah mengumumkan dasar tiada paksaan di dalam agama. Ia menjelaskan kepada para penganutnya sebelum orang yang lain bahawa mereka adalah dilarang memaksa orang lain memeluk agama ini.

Bagaimana Islam hendak dibandingkan dengan aliran-aliran pemikiran dan sistem-sistem ciptaan manusia yang lemah dan sewenang-wenang yang telah memaksa manusia dengan menggunakan kuasa kerajaan dan tidak membenarkan penentangan-penentangan hidup?

Kerinduan kepada hidayat

Ungkapan penafian di sini dibuat dalam bentuk penafian yang mutlak ‘tiada sebarang paksaan’ iaitu penafian jenis mengikut ahli nahwu yang bermaksud menolak segala jenis paksaan daripada awal-awal lagi.

Penafian itu menjauhkannya daripada alam al-wujud dan realiti. Bukannya semata-mata menahan melakukan paksaan dan larangan dalam bentuk penafian jenis lebih mendalam kesannya dan lebih kuat maknanya.

Ayat berikut tidak lebih menyentuh hati nurani manusia dengan sentuhan yang menyedarkannya. Sentuhan yang menimbulkan kerinduan kepada hidayat dan membimbing ke jalan yang betul, sentuhan yang menjelaskan hakikat iman yang diumumkannya sebagai amat jelas dan terang dalam firman-Nya.

Firman Allah, Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.

Yakni keimanan itulah jalan yang betul yang seharusnya dicari oleh manusia dengan bersungguh-sungguh, dan kekafiran itulah jalan yang sesat yang seharusnya dijauhi manusia.

Demikianlah hakikat yang benar. Apabila seseorang itu memikirkan nikmat keimanan yang memberi kepercayaan dan kefahaman yang jelas kepada akal manusia dan memberi ketenangan dan kedamaian kepada hatinya. Ia akan melahirkan di dalam jiwanya minat dan cita-cita luhur dan perasaan-perasaan yang bersih dan seterusnya melahirkan sistem hidup masyarakat yang sihat, lurus dan mendorong ke arah kehidupan yang subur dan maju.

Apabila ia memikirkan nikmat keimanan itu dengan cara ini tentulah dia menemui jalan yang benar. Jalan yang tiada siapa menolaknya melainkan si tolol yang meninggalkan jalan yang benar kerana memilih jalan yang sesat dan meninggalkan hidayat kerana memilih kesesatan dan mengutamakan jalan hidup yang meraba-raba tidak tenang, rendah dan kerdil daripada jalan hidup yang mantap, tenteram, tinggi dan unggul.

Firman Allah, Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus.

Al-Baghawi berkata: “Maksud thaghut dengan syaitan dan juga dikatakan setiap yang diibadatkan selain daripada Allah”.

Di sana terdapat pendapat-pendapat yang lain seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Jauzi antaranya:

* Dengan maksud kahin iaitu yang mengetahui berkenaan dengan ramalan melalui perantaraan jin atau syaitan. Inilah pendapat Said bin Jubair dan Abu al-‘Aliyah.

* Ahli sihir. Inilah pendapat yang dikatakan oleh Muhammad bin Sirin.

* Yang melampau di kalangan ahli kitab seperti yang disebut oleh Az-Zajjaj.

Kekufuran itu seharusnya dihadkan kepada sesuatu yang wajar diingkari iaitu thaghut dan keimanan itu wajib dihadapkan kepada Khaliq yang wajar diimani iaitu Allah s.w.t.

Berpegang teguh

Thaghut ialah kata-kata pecahan daripada kata tughyan yang mengertikan segala sesuatu yang melampaui siuman, melampaui kebenaran dan melewati batas yang digariskan Allah kepada para hamba-Nya. Sesuatu yang tidak dikawal dengan kepercayaan kepada Allah dan dengan undang-undang syariat yang diatur oleh Allah.

Termasuk dalam pengertian thaghut ialah segala sistem hidup yang tidak diambil dari Allah, segala kefahaman dan pemikiran atau peraturan atau peradaban atau tradisi yang tidak diambil dari Allah.

Oleh itu sesiapa yang kufur atau menolak segala bentuk thaghut ini dan beriman kepada Allah dan mengambil daripada Allah yang Maha Esa sahaja, maka bererti ia telah selamat. Keselamatannya tergambar pada sikapnya yang berpegang teguh dengan ikatan tali keimanan yang kukuh yang tidak akan putus lagi.

Firman Allah, Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Al-Nasafi berkata maksudnya: “Allah yang bersifat Maha Mendengar kerana ikrar-Nya dan Maha Mengetahui dengan iktikad-Nya”.

Sedangkan Al-Maghari berkata: “Allah Maha Mendengar semua ucapan yang mendakwa kekufuran dengan thaghut dan beriman dengan Allah yang Maha Mengetahui hatta dalam lubuk hati manusia sama ada membenarkan atau mendustakannya”.

 

March 14, 2008 - Posted by | Tadabur, Tafsir, Tazkirah | ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: