NowWhyTwo Moscow

Wadah bicara. Kuatkan Iman Teruskan Amal~

Mari Berbicara Dengan Perkataan Yang Baik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Firman Allah dalam Surah alBaqarah ayat 103-104

Dan jika mereka beriman dan bertaqwa, pahala dari Allah pasti lebih baik, sekiranya mereka tahu. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan Ra’ina tapi katakanlah, Unzurna dan dengarkanlah. Dan orang-orang kafir akan mendapat azab yang pedih

Pada permulaan ayat, Allah menunjukkan progres seorang yang beriman hendaklah beriringan bersamanya pertambahan taqwa. Hamba yang bertaqwa sentiasa peka dengan akal, hati dan tingkah-lakunya supaya tidak melanggar perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah. Allah menjelaskan dalam ayatnya jika mereka beriman bermaksud Allah memberi pilihan sama ada untuk kufur (di dunia yang penuh dengan godaan) atau untuk kekal berpegang teguh pada iman. Maka berbahagialah mereka yang berpegang teguh pada iman kerana Allah dengan jelas dan terang menjamin bahawa ganjaran dari sisi Allah itu tidak terbanding dengan segala kemewahan dan kesenangan dunia. Ganjaran yang istimewa dari sisi Allah itu memang menjadi mainan di mulut manusia. Syurga Allah yang kekal abadi tetapi adakah manusia benar-benar mengetahui? Kita ambil contoh pemandu memandu kereta sangat laju, apabila ditegur sudah pasti dia tahu akan akibat buruknya tapi adakah dia benar-benar tahu? Dia akan tahu dengan sebenar-benar tahu apabila dia sendiri cedera parah dalam kemalangan jalan raya. Pada waktu itu baru mengeluh “Kalau lah aku tahu”, bukankah sudah diingatkan? Jadi manusia hendaklah mengambil perhatian atas peringatan ini.

Kemudian Allah teruskan dengan mengalih perhatian dari bercakap mengenai Bani Israel (ayat 103 dan sebelumnya) dengan bercakap terus kepada orang-orang beriman. Ini adalah signal supaya kita tidak mengulangi tabiat buruk Bani Israel. Allah memberi amaran kepada orang-orang beriman supaya jangan menggunakan perkataan Ra’ina tapi gantikan dengan Unzurna. Ra’ina digunakan apabila orang yang bercakap mahu para hadirin memberi perhatian. Apabila vokal huruf ya dipanjangkan ia bermaksud orang gaji atau orang yang diupah melakukan kerja pembersihan. Orang-orang Bani Isreal suka menggunakan perkataan ini untuk menghina/menyindir orang lain.

Jadi Allah mahu membuang terus tabiat menggunakan perkataan tersebut yang mempunyai dua maksud (satu maksud baik, satu maksud buruk) seperti contoh di atas. Tapi sebaliknya gunakanlah Unzurna yang membawa maksud yang sama untuk tujuan yang sama kerana ia selamat dari dipermain-mainkan perkataan itu.

Allah melarang kita dari bermain-main dengan perkataan. Allah melarang kita menggunakan perkataan yang boleh membawa kepada salah faham walaupun niat asalnya adalah untuk kebaikan. Allah mengingatkan bahawa orang beriman sepatutnya meninggalkan terus penggunaan perkataan seumpamanya dan pilihlah perkataan yang baik apabila berbicara. Kerana jelas bahawa setiap yang keluar dari mulut kita (atau yang tidak keluar dari mulut kita) menggambarkan apa yang ada dalam hati kita, baik atau buruk, bersih atau kotor, iman atau kufur. Sesungguhnya akhlaq adalah buah kepada iman.

Allah menutup ayat 104 dengan mengatakan manusia yang degil untuk menurut perintah ini adalah manusia yang kufur dan pasti azab Allah yang pedih sedia menunggu (semoga kita dilindungi darinya).

WaAllahu a’lam

January 11, 2011 Posted by | Akhlak, Tadabur, Tafsir, Tazkirah | Leave a comment

Hukum Agih Daging Korban Kepada Bukan Muslim

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna’ menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

l Semua ulama mazhab sepakat (ijma’) memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof Madya Alias Othman

———————————————————————————————————-

Pendapat Kami : Boleh memberikan kepada bukan islam daging korban (yang bukan nazar) kepada bukan islam. Sama ada berbentuk masakan atau mentah. Rujuk pendapat di atas.

“walaubagaimanapun, tiada khilaf (pertentangan) antara pendapat-pendapat berkenaan bahawasanya daging korban sewajarnya diedarkan dan diutamakan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu berbanding mengagihkannya kepada bukan muslim”. bukan apa, takut semangat sangat nak kasi kat non-muslim, terlupa ada muslim yang sepatutnya yang belum dapat pula.

November 21, 2010 Posted by | Akhlak, Ibadah | 3 Comments

Memilih yang Bersih dan Halal itu Wajib

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian,

Apa khabar rakan-rakan sekalian, semoga sejahtera menjalani kehidupan seharian. Dalam kesibukan menjalani kehidupan sebagai pelajar, harapnya kalian tidak lupa untuk menjaga kesihatan diri dan makan pada waktunya.

Menyentuh tentang hal makan dan minum, mencari yang halal dan bersih itu menjadi cabaran pada kita lebih-lebih lagi pada adik-adik junior yang baru memulakan hidup baru di Kota Moscow. Imej di atas adalah salah satu panduan untuk memeriksa kandungan makanan yang boleh dibeli di pasar atau supermarket. Untuk apa sahaja jenis makanan yang telah siap dibungkus, jangan sangka semuanya halal. Jadi pastikan kandungannya bebas dari senarai E di atas yang jelas haram dimakan oleh kita sebagai muslim.

Semoga bermanfaat, kongsilah sesama kawan yang lain, semoga usaha kecil kita ini dipandang oleh Allah dan menjadi syafaat kita di akhirat nanti.

October 6, 2010 Posted by | Tazkirah | 3 Comments

Mengenali penyakit hati

Assalamualaikum wbt.

Setiap daripada manusia memiliki hati. Namun tidak semua mempunyai hati yang bersih dan sihat dari penyakitnya. Contoh penyakit hati yang sering melanda diri manusia itu adalah hasad dengki, takabbur dan sebagainya. Tapi hati yang disebut-sebut itu, di manakah ia? Lokasi sebenar hati itu mana letaknya? Apakah makna sebenar segumpal daging yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis ke-6 dari Hadis 40?

Walaupun pokok perbincangan hadis tersebut amat besar, tapi ianya berkaitan dengan segumpal daging yang disebut sebagai Al-Qalb. Apakah definisi Al-Qalb itu? Menurut Imam Ghazali dalam hasil karya beliau bertajuk Ma’arij Al-Qudsi fi Madariji Ma’rifatin Nafsi, maksud Al-Qalb itu ada dua:

  • Segumpal daging berbentuk satu genggaman manusia yang diletakkan di sebelah kiri dalam rongga dada (thoracic cavity) dan boleh dilihat secara jelas. Dari situ kita dapat mengetahui bahawa Al-Qalb yang dinyatakan adalah sumber oksigen kepada tubuh dan juga organ penting untuk manusia dan haiwan, iaitu jantung. Ianya juga membawa maksud, jika rosak Al-Qalb ini, maka rosaklah seluruh tubuh manusia atau haiwan itu. Jadi ini dapat disimpulkan bahawa Al-Qalb itu membawa makna jantung.
  • Secara abstraknya, Al-Qalb itu membawa maksud ruh (jiwa manusia) dan tidak boleh disentuh sepertimana jantung yang diterangkan pada makna sebelumnya. Ruh inilah yang membawa amanat dari Allah SWT. Ruh ini jugalah yang menyatakan kesanggupan untuk mengenal tauhid dengan mengakui keesaan Allah SWT sewaktu mula-mula ia diciptakan, sepertimana dalam Surah Al-A’raf ayat 172:

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuban kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengata- kan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)

Bagaimana pula peranan syaitan dalam penyakit hati manusia ini? Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Muttafaqun Alaih, Rasulullah SAW bersabda: ” Sesungguhnya Syaitan itu meresap ke dalam diri manusia seperti mengalirnya darah dalam tubuhnya”

Jalan syaitan  untuk menyelinap ke dalam hati manusia:

1. Marah

Marah adalah pintu yang paling mudah untuk syaitan menyelinap ke dalam hati manusia. Sifat marah yang meluap-luap mampu menutup sifat kewarasan akal. Apabila kewarasan akal dikaburi dengan marah, sebarang tindakan yang diambil adalah tindakan yang merugikan diri sendiri. Seorang wali Allah bertanya kepada Iblis: Bagaimana engkau menawan anak Adam? Iblis menjawab: Aku tawan dia ketika dia marah dan ketika ia bernafsu.

2. Nafsu

Nafsu bukan sahaja terdiri daripada nafsu syahwat, tetapi juga nafsu terhadap makanan, berjual-beli, mengumpul harta dan sebagainya. Syaitan menawan hati manusia ini melalui pintu nafsu yang tidak terjaga. Jadi, untuk mengelakkannya, manusia itu perlu menjaga kehormatan dirinya dan memelihara nafsunya supaya tidak terjerumus kepada hasutan syaitan.

Surah Al-Mukminun ayat 5 – ” Dan mereka yang menjaga kehormatan dirinya.” Iaitu antara ciri orang beriman yang berjaya adalah yang menjaga kehormatan dirinya.

3. Tergesa-gesa

Manusia ini sinonim dengan tergesa-gesa seperti dalam surah Al-Isra’ ayat 11, “Dan manusia berdoa dengan (memohohn supaya dia ditimpa) kejahatan sebagaimana dia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu tergesa-gesa.”

Sifat tergesa-gesa menyebabkan seseorang itu terjebak dalam kesusahan dan syubhat. Namun, manusia itu mampu mengawal sikapnya dengan sifat berhati-hati. Dan berhati-hati itu datangnya dari Allah SWT.

4. Hasad dengki

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan itu ialah pengikis dan pencukur. Saya tidak maksudkan mencukur rambut tetapi ia mengikis agama.”

Hasad dengki boleh mengikis Iman seseorang jika ia tidak sedar dengan cepat. Dan sifat dengki ini juga mampu mengkucar-kacirkan suatu komuniti jika tidak ditangani dengan bijaksana.

5. Kikir

Kikir ini menghalang manusia berbuat kebaikan dan sedia berkorban. Terutama berkorban harta dan tenaga untuk jalan Allah SWT. Dalam surah Al-Baqarah ayat 268 Allah menyebut tentang sifat kikir ini :

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

6. Takabbur

Ini adalah sifat yang menyebabkan syaitan digugurkan darjat oleh Allah SWT hanya kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam di saat Nabi Adam diciptakan. Ia merasakan dirinya jauh lebih mulia kerana dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam hanya dari tanah. Jika sifat ini terbina dalam diri seorang manusia, ia amatlah berbahaya kerana ia akan merasakan dirinya lebih mulia dari orang lain dan amat susah untuk menerima kebenaran.

7. Buruk sangka

Berbahaya sungguh sifat buruk sangka atau lebih dikenali dalam bahasa arab sebagai Suu Zhon. Ini menghalang terbentuknya ukhwah islamiyyah dan mahabbah antara Muslim. Dan ianya juga punca tersebarnya fitnah yang akhirnya mencetuskan perbalahan sesama manusia. Kita kena menghindari sifat buruk sangka ini supaya ukhwah dapat terjalin dengan utuh.

Surah Hujuraat ayat 12 :

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yaang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Kesimpulannya, si pemilik hati ini kena bertanya kepada hati mereka sama ada hati mereka itu sakit atau tidak. Dan penawar kepada penyakit hati adalah kembali kepada Rabbnya. Nescaya hati yang gundah akan kembali tenang.

Surah Ar-Ra’d ayat 28 : (Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Wallahu a’lam

May 14, 2010 Posted by | Akhlak, Ibadah, Tazkirah | 6 Comments

Muslimah Mencontohi Dari Muslimah Agung

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 08/03/2010, marilah kita menoleh kembali kepada sejarah wanita-wanita agung yang telah diangkat darjat mereka oleh Allah untuk menjadi teladan kepada generasi kita. Hayatilah dan selamilah kisah mereka dengan mata hati yang terbuka. Semoga kita juga ditempatkan sebagaimana mereka telah ditempatkan oleh Allah Maha Agung.

Fatimah binti Muhammad salallahu alaihi wasallam.

Fatimah al-Zahra adalah puteri kepada Rasulullah SAWA. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah SAWA yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah, Rasulullah SAWA pernah bersabda yang bermaksud:
“Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun.” [Muhibuddin al-Tabari, Dhakha’ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].

Fatimah AH mempunyai nama-nama timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A’immah dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar’ Juzuk 43, hlm.16]

Rasulullah SAWA menggelarkannya Fatimah AH sebagai “Ummu Abiha” bermaksud ibu kepada ayahnya. Ini kerana Fatimah AH sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]

Fatimah dilahirkan pada 20 Jamadil Akhir di Mekah iaitu pada Hari Juma’at, tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAWA [Manaqib Ibn Shahrashub, (Najaf), Juzuk 3, hlm.132; al-Kulaini, al-Kafi; Misbah al-Kaf’ami; Syeikh al-Mufid, Iqbal al-Amal]. Tempat beliau dilahirkan ialah di rumah ayahanda dan ibundanya iaitu Rasulullah SAWA dan Khadijah ak-Kubra. Beliau AH wafat pada tahun ke-11 hijrah iaitu selepas enam bulan kewafatan ayahandanya Rasulullah SAWA [al-Bukhari, Sahih, Juzuk 5, Hadith 546]

Kelahiran Fatimah AH amat menggembirakan Rasulullah SAWA. Beliau SAWA bersabda tentang Fatimah AH:
” Dia adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari kehadirannya.”[Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].

Mengapa diberkan Nama Fatimah? Menurut Imam Ali al-Ridha AS nama “Fatimah” diberikan oleh Rasulullah SAWA Fatimah AH dan para pengikutnya terpelihara dari api neraka. Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata: ” Rasulullah SAWA bersabda kepada Ali AS: Tahukah kamu nama mengapa nama Fatimah diberikan kepadanya? Ali menjawab: Mengapa dia diberikan nama itu? Dia (Rasulullah SAWA) bersabda: Kerana dia dan shiahnya akan diperlihara dari api neraka.”

Fatimah az-Zahra AH mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang dinyatakan dalam al-Qur’an. Ulama ahli sunnah dan syi’ah bersetuju bahawa ayat al-Qur’an surah Al-Insaan(76);8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah AH iaitu yang bermaksud: ” Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah kami mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima kasih.”

Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husayn AS sedang dalam keadaan sakit. Rasulullah SAWA dengan beberapa orang sahabat menziarahi mereka. Rasulullah SAWA mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah SWT bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila anak mereka sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu mereka, Fizzah bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husayn AS sembuh, mereka pun berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis meminta makanan kepada mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan sahaja. Keesokan hari ini datang seorang anak yatim meminta makanan daripada mereka pada waktu berbuka dan sekali lagi mereka hanya berbuka dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang pula seorang tawanan perang meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali membawa anak-anaknya ke rumah Rasulullah SAWA. Rasulullah SAWA berasa sedih melihat keadaan cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah SAWA ke rumah mereka. Sampai di sana Rasulullah SAWA melihat Fatimah AH sedang berdoa dengan keadaan yang amat lemah. Rasulullah SAWA berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril berkata kepada beliau SAWA,” Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu.” Lalu Jibril membacakan ayat tersebut.[Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298; al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII, hlm.395]

Al-Bukhari meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa pada suatu ketika Fatimah AH mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung. Apabila beliau mendengar berita ada beberapa orang hamba dari rampasan perang telah dibawa kepada Rasulullah SAWA, beliau lalu pergi (ke rumah Rasulullah SAWA) untuk menemui baginda SAWA bagi mendapatkan pembantu tersebut, tetapi pada ketika itu (Rasulullah SAWA tidak ada di rumah) Aisyah tidak dapat mencari baginda SAWA. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah. Apabila Rasulullah SAWA pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara tersebut. Rasulullah SAWA kemudian pergi ke rumah kami….Mahukan kamu aku nyatakan suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah Allahu Akbar 34 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali. Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohonkan.”[ Al-Bukhari, Jld. VI, hadith 344]

Aisyah binti Abu Bakr As-Siddiq Ummul Mu’minin

Aisyah binti Abu Bakar merupakan puteri kepada sahabat Baginda yang paling rapat, Abu Bakar as-Shiddiq. Beliau memiliki kedudukan yang amat istimewa di kalangan isteri Rasulullah dan diberi gelaran Humairah. Sepanjang 9 tahun hidup bersama Rasulullah SAW, beliau telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang berlaku kepada umat Islam di Madinah. Melalu pengalaman inilah beliau mampu untuk membezakan antara yang haq dan yang bathil, walaupun pada usia yang amat muda. Peribadinya juga dibentuk secara langsung oleh Rasulullah SAW, menjadikan Saidatina Aisyah seorang wanita yang ulung pada zamannya.

Beliau hanya berusia 9 tahun ketika menikahi Rasulullah SAW, setelah kewafatan Sayyidah

Khadijah. Pada usia yang amat muda, Aisyah merupakan seorang wanita yang cerdas dan kuat daya ingatannya. Beliau banyak sekali meriwayatkan hadith Rasulullah dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat ridhwanullah alaihim. Beliau juga merupakan satu-satunya isteri Rasulullah yang masih perawan, sedangkan Ummahatul Mu’minin yang lain telah bergelar janda sebelum menikahi Rasulullah SAW.

Pernah suatu ketika sewaktu pulang dari peperangan dengan Bani Mustaliq, Saidatina Aisyah ditinggalkan oleh rombongan yang membawanya, kerana mereka menyangkakan beliau masih berada di dalam sekedup untanya sewaktu mereka berangkat. Pada saat Aisyah duduk di tempat persinggahannya sambil berharap seseorang dari rombongannya akan menyedari kehilangannya dan berpatah balik untuk mengambilnya, lalu beliau tertidur. Ternyata Shafwan ibn al-Mu’attal as-Sulami kemudiannya melihat beliau, lantas mengenali Ummul Mu’minin yang berada di hadapannya. Kemudian Shafwan membawa beliau ke khemah berhampiran di mana tentera Islam sdg beristirehat pada hari yang sangat panas.

Kaum munafiqin mengambil peluang atas peristiwa ini untuk menaburkan fitnah terhadap Saidatina Aisyah dan Shafwan, lantas berita tersebut tersebar dengan pantas di serata kota Madinah. Natijah daripada fitnah ini Rasulullah SAW dan seluruh isi rumahnya berasa tertekan. Aisyah yang jatuh sakit pada waktu itu tidak menyedari akan hal ini, tetapi merasakan kelainan daripada cara Baginda selalu melayannya. Setelah mendapat tahu tentang fitnah yang tersebar itu Aisyah menjadi bertambah sakit, maka dengan izin Rasul beliau tinggal bersama kedua ibubapanya buat sementara waktu. Kerana api fitnah yang semakin dahsyat dan tekanan yang diterima, Baginda pergi berjumpa dengan Aisyah dan berkata kepadanya;Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku pelbagai perkataan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah pasti akan membersihkanmu. Tetapi jika engkau bersalah, maka mohonkanlah ampunan dari Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya seorang hamba, apabila dia mengakui kesalahannya, kemudian dia bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya.

Tidak lama kemudian turunlah firman Allah yang membersihkan nama Aisyah daripada fitnah yang didatangkan oleh kaum munafiqin, melalui surah an-Nur ayat 11-26. Beliau kemudiannya memaafkan kesemua mereka yang terlibat dalam menyebarkan fitnah terhadapnya, dan kedudukannya menjadi semakin tinggi di mata umat Islam pada waktu itu.

Ummul Sulaim binti Milhan

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”[HR Bukhari]. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi tauladan buat kita semua.

Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.

Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”. Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas,  “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadatain. Anas akur. Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rosakkan anakku!”. Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.

Beliau bernikah kali kedua setelah dewasa puteranya Anas bin Malik. Suaminya bernama Abu Talhah bin alAnshary. Mahar pernikahan ini adalah pengislaman Abu Talhah dihadapan Rasulullah SAW. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya”.

Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanyakan keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?

“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah. Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69; Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)

March 5, 2010 Posted by | Tazkirah | , | 1 Comment

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.